Doa Murah Rezeki Paling Mustajab
Amalan dan doa murah rezeki – semua kesenangan dan kebaikan adalah anugerah daripada Allah SWT. Baik dari segi kewangan, harta benda, mental dan fizikal, semuanya adalah rezeki daripada Allah SWT. Bagaimanakah amalan dan doa yang boleh diamalkan agar mendapat rezeki yang mudah dan cepat? Terdapat beberapa doa dan amalan yang boleh diamalkan agar dimurahkan rezeki.
Bagaimanakah sesuatu doa itu boleh menjadi mustajab dan apakah doa murah rezeki yang paling mustajab? Doa akan menjadi mustajab apabila kita bersungguh-sungguh berdoa kepada Allah SWT. Letakkan sepenuh kebergantungan kepada Allah SWT dan percaya sepenuhnya bahawa setiap perkara yang berlaku di dunia ini adalah aturan daripada Allah SWT. Tidak ada satu pun perkara yang terlepas daripada pengetahuan Allah SWT. Dan inilah sebenarnya rahsia doa murah rezeki paling mustajab yang boleh diusahakan oleh kita.
Ramai orang Islam ingin menjadi kaya dan dimurahkan rezeki. Disamping berusaha bersungguh-sungguh, doa juga perlu dipanjatkan agar usaha kita diberkati oleh Allah SWT. Allah SWT sangat menyukai hambanya yang selalu berdoa dan bergantung harap kepadaNya.
.
Doa Murah Rezeki
Barikut adalah doa yang boleh diamalkan agar dimurahkan rezeki. Doa yang disertakan adalah ayat seribu dinar. Disertakan juga bacaan dalam Rumi dan maksud bacaan doa.

.
Bacaan dalam rumi :
Waman yatta qillaha yaj’al lahu makhroja, Wa yarzuquhu min haithu la yahtasibu, Wa man yatawakal ‘alallahi fahuwa hasbuhu, Innallaha baalighu amrihi qad ja’alallahu likulli syai in qadran.
.
Maksud bacaan :
Barang siapa yang bertaqwa kepada ALLAH s.w.t nescaya Dia akan mengadakan baginya jalan keluar. Dan memberikannya rezeki dari arah yang tidak disangka-sangka.Dan barang siapa yang bertawakal kepada ALLAH s.w.t nescaya ALLAH s.w.t akan mencukupkan (keperluan) nya.Sesungguhnya ALLAH s.w.t melaksanakan urusan (yang dikehendakin) nya.Sesungguhnya ALLAH s.w.t telah mengadakan ketentuan bagi tiap-tiap sesuatu.
(Surah AT-TALAQ : Ayat 2-3)
.
Ayat seribu dinar mengingatkan kita agar sentiasa bertaqwa dan bertawakkal kepada Allah SWT. Nescaya Allah akan mencukupkan keperluannya dan memberikan rezeki dari sumber yang tidak dijangka. InsyaAllah mudah-mudahan.
Anda Mungkin Meminati : Doa Belajar, Doa Sebelum Belajar dan Doa Penerang Hati
.
Makna Rezeki ( Rezeki Halal dan Rezeki Haram )
Rezeki adalah kebaikan dan manfaat yang dapat dinikmati oleh seseorang insan. Apa apa sahaja yang diperoleh oleh seseorang insan yang memberinya manfaat, kegembiraan, kebahagiaan dan kelebihan, ianya adalah rezeki. Namun harus berhati-hati, rezeki tergolong dalam 2 jenis iaitu rezeki yang halal dan rezeki yang haram.
Rezeki yang halal ialah rezeki yang diperoleh secara halal dan mengikut syariat Islam. Manakala rezeki yang haram iailah rezeki yang diperoleh melalui cara yang haram dan tidak mengikut syariat Islam. Rezeki yang halal mempunyai berkatnya yang tersendiri manakala rezeki yang haram tidak mempunyai berkat di dunia dan di akhirat.
.
Makna Berkat
Keberkatan ialah sesuatu yang berkembang, bertumbuh dan mempunyai kebaikan yang berpanjangan. Itulah yang dimaksudkan dengan keberkatan. Jika rezeki itu mempunyai berkat, manfaatnya dapat dirasai oleh ramai orang dan mempunyai kebaikan yang berpanjangan. Rezeki yang berkat akan memberi kesan yang positif untuk jangka masa yang panjang manakala rezeki yang tidak berkat adalah sebaliknya.
Sebagai seorang muslim, kita dituntut untuk mencari rezeki yang halal dan berkat. Selain daripada berusaha bersungguh-sungguh. Terdapat juga beberapa amalan yang dapat diamalkan agar dimurahkan rezeki seperti yang disertakan dibawah ini.
Anda Mungkin Meminati : Doa Dipermudahkan Urusan Dunia Akhirat
.
Amalan Murah Rezeki
1. Solat Dhuha
Selain doa murah rezeki, amalan solat dhuha mempunyai kebaikan sebagai salah satu cara untuk menarik rezeki. Solat dhuha hanya 2 rakaat pada waktu pagi dan ianya dapat memberikan kelapangan dan kecukupan rezeki InsyaAllah. Solat dhuha akan mengingatkan kita bahawa rezeki adalah kurniaan Allah SWT. Hati akan menjadi lebih tenang dan lebih redha dengan ketentuan Allah dalam pencarian rezeki.
.
2. Solat Awal Waktu
Menunaikan solat pada awal waktu amatlah dituntut oleh Allah SWT. Dengan solat pada awal waktu sebenarnya, kita telah mendapat keberkatan masa. Perasankah kita, apabila solat di awal waktu, kita dapat rasakan bahawa masa akan menjadi lebih panjang dan lapang. Dan itulah rezeki yang diperoleh apabila solat di awal waktu di samping keberkatan masa. Selain itu, solat pada awal waktu juga dapat memberikan ketenangan hati.
.
3. Selalu Beribadat dan Beristighfar
Selalu mengabdikan diri, beristighfar dan beribadat kepada Allah SWT adalah cara untuk melapangkan hati dan mengelakkan daripada kefakiran. Istighfar juga dapat menghapuskan kedukaan dan memperoleh rezeki dari sumber yang tidak disangka. Ini selari dengan sabda Nabi Muhammad SAW :
“Barang siapa memperbanyak istighfar maka Allah SWT akan menghapuskan segala kedukaannya, menyelesaikan segala masalahnya dan memberinya rezeki dari arah yang tidak disangka-sangka.” (Riwayat Ahmad, Abu Daud, an-Nasa’i, Ibnu Majah dan al-Hakim dari Abdullah bin Abbas)
.
4. Tidak Melakukan Dosa dan Bertaubat
Perlakuan dosa dapat menghalang daripada seseorang manusia mendapat rezeki yang diinginkan. Untuk dimurahkan rezeki, segera bertaubat dan tidak lagi mengulangi dosa-dosa yang sama. Ianya selari dengan sabda Nabi Muhammad SAW seperti yang di bawah :
“Dan seorang lelaki akan diharamkan baginya rezeki kerana dosa yang dibuatnya.” (Hadis Riwayat at-Tirmizi)
.
5. Bersedekah
Sedekah merupakan amalan yang terpuji dan mampu meringankan beban orang lain. Melalui sedekah, golongan yang kurang bernasib baik dapat menikmati sumbangan oleh pemberi sedekah dan ini dapat merapatkan hubungan sesama Islam. Selain itu, sedekah juga dapat mengeratkan silaturrahim sesama ahli keluarga.
Sedekah yang paling baik adalah sedekah kepada ahli keluarga. Sedekah juga dapat mengundang rahmat Allah dan menjadi sebab Allah membuka pintu rezeki, segabaimana terkandung dalam sabda Nabi Muhammad SAW :
Maka siapa yang memperbanyakkan pemberian kepada orang lain, nescaya Allah memperbanyakkan baginya. Dan siapa yang menyedikitkan, nescaya Allah menyedikitkan baginya.” (Hadsi Riwayat ad-Daruquthni dari Anas r.a.)
.
6. Berbakti Kepada Ibu Bapa dan Mendoakan Mereka
Berbakti kepada ibubapa dapat membuka pintu rezeki yang banyak. Ianya selari dengan hadis Nabi Muhammad SAW.
Dalam hadis Riwayat Imam Ahmad, Rasulullah SAW berpesan agar sesiapa yang ingin panjang umur dan ditambahkan rezekinya, hendaklah dia berbakti kepada ibu bapanya dan menyambungkan tali kekeluargaan. Sabda Nabi yang berbunyi :
“Siapa berbakti kepada ibu bapanya maka kebahagiaanlah buatnya dan Allah akan memanjangkan umurnya.” (Hadis Riwayat Abu Ya’ala, at-Tabrani, al-Asybahani dan al-Hakim)
Selain itu, mendoakan ibu bapa juga menjadi sebab mengalirnya rezeki, berdasarkan sabda Nabi SAW :
“Apabila hamba itu meninggalkan berdoa kepada kedua orang tuanya nescaya terputuslah rezeki (Allah ) daripadanya.” (Hadis Riwayat al-Hakim dan ad-Dailami)
.
7. Mengamalkan Solat Tahajjud
Solat tahajjud pada malam hari mempunyai banyak kebaikan kepada kita. Selain dapat mendekatkan diri kepada Allah SWT, solat tahajjud juga dapat membuka pintu rezeki. Semasa solat tahajjud, suasana tenang dan sunyi merupakan masa yang sesuai untuk berdoa dan bermunajat kepada Allah SWT.
Pada waktu tersebut, berdoalah agar sentiasa dimurahkan rezeki dan dimakbulkan doa. Sesungguhnya Allah menyukai hambanya yang selalu berdoa kepadanya.
.
8. Berusaha Bersungguh-sungguh
Allah menyukai hambanya yang berusaha bersungguh-sungguh untuk mendapatkan sesuatu. Dalam mencapai kejayaan, seseorang mukmin perlu fokus dan melakukan apa yang terdaya untuk berjaya dalam hidup.
Jika tidak faham atau tidak mahir, maka tanyalah kepada golongan yang arif dalam sesuatu bidang tersebut. Jika tidak tahu, maka belajarlah untuk mendapatkan ilmu. Inilah yang dinamakan sebagai berusaha bersungguh-sungguh dalam mendapatkan sesuatu termasuklah ilmu. Ilmu yang bermanfaat juga merupakan rezeki daripada Allah SWT.
Tidak boleh bermain-main dan tidak bersungguh-sungguh dalam melakukan sesuatu. Hasil kepada usaha adalah bergantung kepada sejauh mana kesungguhan seseorang mukmin itu mengerjakan sesuatu.
.
9. Tawakkal
Setelah berdoa dan berusaha bersungguh-sungguh, seseorang mukmin itu perlulah bertawakkal kepada Allah SWT. Tawakkal merupakan petunjuk kita meletakkan sepenuh pengharapan dan kebergantungan kepada Allah SWT. Mudah-mudahan kita sentiasa dilimpahkan rezeki oleh Allah SWT.
Diharapkan perkongsian amalan-amalan dan doa murah rezeki ini dapat memberi manfaat kepada sidang pembaca semua. Penulis mendoakan agar sidang pembaca sentiasa dimurahkan rezeki dan sentiasa berada dalam lingkungan rahmat Allah SWT.
Anda Mungkin Meminati : Doa Kuat Semangat Agar Cekal Menghadapi Ujian Hidup